Friday, 21 December 2012

WEB BERASASKAN PAMPASAN DAN PERANCANGAN


Pengurusan pampasan merupakan fungsi pengurusan sumber manusia yang berurusan dengan setiap ganjaran yang diterima oleh pekerja sebagai balasan terhadap sumbangan mereka sama ada dalam bentuk fizikal ataupun intelektual terhadap organisasi. Pengurus boleh menyediakan pampasan yang berbentuk kewangan atau bukan kewangan bergantung pada keperluan pekerja. Antara faktor penentu pampasan yang perlu diambil kira ialah tanggungjawab terhadap tugas yang diberikan, kemahiran yang dimiliki oleh pekerja,usaha fizikal dan mental yang diperlukan dan persekitaran di mana pekerja bertugas.( Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.)
Menurut Dr. Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun pula, pampasan dan faedah boleh dinyatakan sebagai upah dan gaji ataupun cuti tahunan serta kemudahan yang disediakan oleh organisasi dan juga bidang pekerjaan itu sendiri. Mereka juga berpendapat bahawa semua bentuk pembayaran atau ganjaran yang diterima oleh setiap pekerja daripada majikan sebagai balasan kepada perkhidmatan yang telah diberikan.( Zafir Mohamed Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun. (2007). Understanding Ergonomics: A Practical Approach for Improving Workplace. Journal Of Occupational Safety And Health,)
KEPENTINGAN PAMPASAN
            Pengurusan pampasan adalah merupakan aspek yang amat penting kepada pekerja, pengurus dan organisasi. Ia kerana pekerja bekerja berdasarkan pelbagai alasan, mereka bekerja untuk memuaskan pelbagai keperluan, dan kepuasan kewangan merupakan satu daripadanya. Kepuasan kewangan merupakan satu pembolehubah yang penting dalam meningkatkan kepuasan dan produktiviti yang akan mempengaruhi kelangsungan organisasi. Oleh itu, kepentingan pampasan dilihat kepada dua perspektif iaitu perspektif pekerja dan perspektif organisasi.
Perspektif pekerja.
            Bagi pekerja,pampasan merupakan satu elemen yang penting dalam meningkatkan prestasi kerja. Ketidakadilan dalam pemberian pampasan akan mengakibatkan pekerja kurang berminat untuk bekerja dan akan menjejaskan tahap dan mutu kerja yang dilakukan. Selain itu, pampasan merupakan satu unsur yang penting bagi pekerja untuk terus setia dengan organisasi. Jika pekerja merasakan ganjaran yang diterima adalah memuaskan dan setimpal dengan apa yang telah diberikan tidak ada sebab untuk mereka berpindah ke organisasi lain.
Perspektif organisasi.
            Sebaliknya pampasan juga merupakan elemen penting organisasi dalam usaha untuk menarik minat pekerja baru berkhidmat dengannya. Pampasan dan ganjaran yang menarik akan menyebabkan organisasi mempunyai kelebihan persaingan. Bakal pekerja yang berpotensi dan berkelayakan akan menunjukkan minat untuk berkhidmat dengan organisasi yang memberikan ganjaran yang kompetitif. Ia turut boleh meningkatkan kualiti kerja pekerja sedia ada dalam organisasi. Pampasan akan berperanan sebagai alat untuk meningkat dorongan pekerja mencapai tahap mutu kerja yang terbaik
Sumber :
1.      Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.
2.      Zafir Mohamed Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun. (2007). Understanding Ergonomics: A Practical Approach for Improving Workplace. Journal Of Occupational Safety And Health, 4(1): 19-28. ISSN: 1675-5456.

No comments:

Post a Comment