Friday, 21 December 2012

WEB BERASASKAN KESIHATAN DAN KESELAMATAN PEKERJAAN


Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan salah satu aktiviti pengurusan sumber manusia yang penting berperanan untuk memberi perlindungan kepada pekerja daripada kecederaan dan kemalangan semasa menjalankan kerja. Isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh pengurus sumber manusia dalam memastikan pekerja dapat bekerja dengan cekap dan produktif melalui persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi pekerja.
            Goetsch,(1999) menyatakan keselamatan dan kesihatan adalah dua konsep yang berlainan namun mempunyai kaitan diantara satu sama lain. Keselamatan terbahagi kepada dua bahagian penting iaitu bebas dari kemalangan dan kecederaan serta kawalan ke atas kehilangan atau kerugian yang berpunca dari kemalangan (Bird dan Germain,1989;Jackson,2000). Selain itu, kesihatan pula menekankan hubungan dengan kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan yang berlaku di tempat kerja (Goetsch,1999)
( David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook )
MATLAMAT AKTIVITI KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan sangat penting kerana ia suatu pendekatan yang mengkaji hubungan antara pekerjaan, kesihatan dan keselamatan serta kesan sesuatu pekerjaan terhadap pekerja. Ia akan menyediakan maklumat mengenai tanggungjawab pekerja dan pengurus dalam membangunkan persekitaran kerja yang selamat. Antara matlamat lainnya ialah:- (Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.)
            a)         Mendapatkan maklumat prestasi individu untuk melihat sejauh mana ia selari dengan prosedur yang dikehendaki
b)         Menurunkan potensi dan risiko kemalangan di tempat kerja
            c)         Mendapatkan maklumat mengenai mana-mana individu yang perlu diberikan ganjaran akibat daripada melaksanakan kerja dengan selamat dan efektif
            d)         Mendapatkan maklumat mengenai mana-mana individu yang masih perlu diberikan program latihan dan pemantapan diri.
STRATEGI MENANGANI ISU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA
             Organisasi hendaklah sentiasa mengambil tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja dengan mempromosikan isu keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil oleh majikan antaranya:
a) Menggubal Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
            Organisasi yang mementingkan keselamatan dan kesihatan pekerja akan menetapkan satu polisi untuk berhadapan dengan masalah ini. Polisi yang dibentuk kebiasaannya mempunyai piawai yang sama dengan apa yang dikehendaki oleh undang-undang. Menurut Goetsh, (1999) jika organisasi mahu mempromosikan keselamatan dan kesihatan, terlebih dahulu organisasi mestilah menyediakan satu polisi yang jelas. Maka menjadi tanggungjawab pengurus untuk mengkomunikasikan dan memastikan polisi-polisi yang telah disediakan dijadikan amalan dalam menjalankan tugas-tugas harian. ( David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook )
b) Menggalakkan Penglibatan Pekerja.
            Terdapat “rule of management” yang dikemukakan oleh Goetsh,(1999) iaitu “if you want employees to make a commitment, involve them from the start”. Pernyataan ini boleh diaplikasikan oleh pengurus dalam melaksanakan program keselamatan dan kesihatan. Goetsh,(1999) percaya bahawa melibatkan pekerja dalam program ini adalah satu strategi yang paling efektif untuk mendapatkan komitmen pekerja yang akan menjadikan program ini sebagai program milikan bersama.( David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook )
c) Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
            Latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah satu cara yang berkesan dalam membantu mempromosikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pengurus boleh memberi latihan kepada pekerja baru dalam program orientasi dan biasanya latihan ini bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran yang mendalam mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja. Pelan latihan yang dianggap berjaya mesti mempunyai elemen-elemen yang berikut:
- latihan mesti diberi kepada semua peringkat dari pengurus sehingga pekerja bawahan.
- latihan mesti diberi kepada pekerja baru dalam semua tahap.
- mengenalpasti risiko yang wujud dalam kerja dan membekalkan pengetahuan kepada pekerja mengenai risiko yang bakal dihadapi.
- mengawasi program dan memastikan objektif yang telah ditetapkan tercapai.
- merekodkan dan membuat catatan terhadap semua kejadian yang tidak diingini yang telah berlaku
Sumber:
1. Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.)
2. David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook

No comments:

Post a Comment