Friday, 21 December 2012

KESIMPULAN


Merancang dan membentuk pakej yang saksama dan adil sama ada secara dalaman atau luaran adalah amat penting bagi semua jenis organisasi. Ini adalah kerana kadar bayaran upah yang terlalu tinggi dan pakej faedah yang berlebihan akan mengakibatkan kos yang mahal atau keadaan sebaliknya mungkin akan menghasilkan mutu kerja yang rendah dan pertukaran yang tinggi. Sekiranya gagal, ia akan menjejaskan moral pekerja. Namun apa yang lebih penting adalah persefahaman di antara organisasi dan pekerja untuk berganding bahu demi mencapai objektif dan matlamat organisasi untuk terus berkembang demi kebaikan kedua belah pihak.
            Selain itu, pengurus juga perlu bijak dalam mengeksploitasi segala maklumat yang diperoleh berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sebarang masalah yang telah dikenalpasti dan maklumat yang diperoleh perlu dianalisis dan diselesaikan dengan melibatkan bersama pekerja yang terlibat secara langsung dalam program keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pelbagai program latihan perlu dijalankan bagi memastikan setiap pekerja sentiasa bersedia dan bebas dari keselamatan dan ancaman kesihatan.
            Akhirnya, perkembangan teknologi telah membawa senario baru dalam proses latihan dan pembelajaran yang digunakan hanya di atas talian. Ia banyak mendatangkan munafaat dan kebaikan jika ianya sentiasa dianggap positif. Selain menjimatkan masa dan kos, kaedah pembelajaran ini mampu membawa pengurusan sumber manusia ke satu dimensi baru yang memudahkan semua pihak yang terlibat.

WEB BERASASKAN KESIHATAN DAN KESELAMATAN PEKERJAAN


Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan salah satu aktiviti pengurusan sumber manusia yang penting berperanan untuk memberi perlindungan kepada pekerja daripada kecederaan dan kemalangan semasa menjalankan kerja. Isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh pengurus sumber manusia dalam memastikan pekerja dapat bekerja dengan cekap dan produktif melalui persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi pekerja.
            Goetsch,(1999) menyatakan keselamatan dan kesihatan adalah dua konsep yang berlainan namun mempunyai kaitan diantara satu sama lain. Keselamatan terbahagi kepada dua bahagian penting iaitu bebas dari kemalangan dan kecederaan serta kawalan ke atas kehilangan atau kerugian yang berpunca dari kemalangan (Bird dan Germain,1989;Jackson,2000). Selain itu, kesihatan pula menekankan hubungan dengan kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan yang berlaku di tempat kerja (Goetsch,1999)
( David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook )
MATLAMAT AKTIVITI KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan sangat penting kerana ia suatu pendekatan yang mengkaji hubungan antara pekerjaan, kesihatan dan keselamatan serta kesan sesuatu pekerjaan terhadap pekerja. Ia akan menyediakan maklumat mengenai tanggungjawab pekerja dan pengurus dalam membangunkan persekitaran kerja yang selamat. Antara matlamat lainnya ialah:- (Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.)
            a)         Mendapatkan maklumat prestasi individu untuk melihat sejauh mana ia selari dengan prosedur yang dikehendaki
b)         Menurunkan potensi dan risiko kemalangan di tempat kerja
            c)         Mendapatkan maklumat mengenai mana-mana individu yang perlu diberikan ganjaran akibat daripada melaksanakan kerja dengan selamat dan efektif
            d)         Mendapatkan maklumat mengenai mana-mana individu yang masih perlu diberikan program latihan dan pemantapan diri.
STRATEGI MENANGANI ISU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA
             Organisasi hendaklah sentiasa mengambil tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja dengan mempromosikan isu keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil oleh majikan antaranya:
a) Menggubal Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
            Organisasi yang mementingkan keselamatan dan kesihatan pekerja akan menetapkan satu polisi untuk berhadapan dengan masalah ini. Polisi yang dibentuk kebiasaannya mempunyai piawai yang sama dengan apa yang dikehendaki oleh undang-undang. Menurut Goetsh, (1999) jika organisasi mahu mempromosikan keselamatan dan kesihatan, terlebih dahulu organisasi mestilah menyediakan satu polisi yang jelas. Maka menjadi tanggungjawab pengurus untuk mengkomunikasikan dan memastikan polisi-polisi yang telah disediakan dijadikan amalan dalam menjalankan tugas-tugas harian. ( David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook )
b) Menggalakkan Penglibatan Pekerja.
            Terdapat “rule of management” yang dikemukakan oleh Goetsh,(1999) iaitu “if you want employees to make a commitment, involve them from the start”. Pernyataan ini boleh diaplikasikan oleh pengurus dalam melaksanakan program keselamatan dan kesihatan. Goetsh,(1999) percaya bahawa melibatkan pekerja dalam program ini adalah satu strategi yang paling efektif untuk mendapatkan komitmen pekerja yang akan menjadikan program ini sebagai program milikan bersama.( David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook )
c) Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
            Latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah satu cara yang berkesan dalam membantu mempromosikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pengurus boleh memberi latihan kepada pekerja baru dalam program orientasi dan biasanya latihan ini bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran yang mendalam mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja. Pelan latihan yang dianggap berjaya mesti mempunyai elemen-elemen yang berikut:
- latihan mesti diberi kepada semua peringkat dari pengurus sehingga pekerja bawahan.
- latihan mesti diberi kepada pekerja baru dalam semua tahap.
- mengenalpasti risiko yang wujud dalam kerja dan membekalkan pengetahuan kepada pekerja mengenai risiko yang bakal dihadapi.
- mengawasi program dan memastikan objektif yang telah ditetapkan tercapai.
- merekodkan dan membuat catatan terhadap semua kejadian yang tidak diingini yang telah berlaku
Sumber:
1. Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.)
2. David L. Goetsch (1999, Paperback), The Safety and Health Handbook

WEB BERASASKAN PAMPASAN DAN PERANCANGAN


Pengurusan pampasan merupakan fungsi pengurusan sumber manusia yang berurusan dengan setiap ganjaran yang diterima oleh pekerja sebagai balasan terhadap sumbangan mereka sama ada dalam bentuk fizikal ataupun intelektual terhadap organisasi. Pengurus boleh menyediakan pampasan yang berbentuk kewangan atau bukan kewangan bergantung pada keperluan pekerja. Antara faktor penentu pampasan yang perlu diambil kira ialah tanggungjawab terhadap tugas yang diberikan, kemahiran yang dimiliki oleh pekerja,usaha fizikal dan mental yang diperlukan dan persekitaran di mana pekerja bertugas.( Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.)
Menurut Dr. Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun pula, pampasan dan faedah boleh dinyatakan sebagai upah dan gaji ataupun cuti tahunan serta kemudahan yang disediakan oleh organisasi dan juga bidang pekerjaan itu sendiri. Mereka juga berpendapat bahawa semua bentuk pembayaran atau ganjaran yang diterima oleh setiap pekerja daripada majikan sebagai balasan kepada perkhidmatan yang telah diberikan.( Zafir Mohamed Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun. (2007). Understanding Ergonomics: A Practical Approach for Improving Workplace. Journal Of Occupational Safety And Health,)
KEPENTINGAN PAMPASAN
            Pengurusan pampasan adalah merupakan aspek yang amat penting kepada pekerja, pengurus dan organisasi. Ia kerana pekerja bekerja berdasarkan pelbagai alasan, mereka bekerja untuk memuaskan pelbagai keperluan, dan kepuasan kewangan merupakan satu daripadanya. Kepuasan kewangan merupakan satu pembolehubah yang penting dalam meningkatkan kepuasan dan produktiviti yang akan mempengaruhi kelangsungan organisasi. Oleh itu, kepentingan pampasan dilihat kepada dua perspektif iaitu perspektif pekerja dan perspektif organisasi.
Perspektif pekerja.
            Bagi pekerja,pampasan merupakan satu elemen yang penting dalam meningkatkan prestasi kerja. Ketidakadilan dalam pemberian pampasan akan mengakibatkan pekerja kurang berminat untuk bekerja dan akan menjejaskan tahap dan mutu kerja yang dilakukan. Selain itu, pampasan merupakan satu unsur yang penting bagi pekerja untuk terus setia dengan organisasi. Jika pekerja merasakan ganjaran yang diterima adalah memuaskan dan setimpal dengan apa yang telah diberikan tidak ada sebab untuk mereka berpindah ke organisasi lain.
Perspektif organisasi.
            Sebaliknya pampasan juga merupakan elemen penting organisasi dalam usaha untuk menarik minat pekerja baru berkhidmat dengannya. Pampasan dan ganjaran yang menarik akan menyebabkan organisasi mempunyai kelebihan persaingan. Bakal pekerja yang berpotensi dan berkelayakan akan menunjukkan minat untuk berkhidmat dengan organisasi yang memberikan ganjaran yang kompetitif. Ia turut boleh meningkatkan kualiti kerja pekerja sedia ada dalam organisasi. Pampasan akan berperanan sebagai alat untuk meningkat dorongan pekerja mencapai tahap mutu kerja yang terbaik
Sumber :
1.      Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan,   Pearson,Prentice Hall.
2.      Zafir Mohamed Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun. (2007). Understanding Ergonomics: A Practical Approach for Improving Workplace. Journal Of Occupational Safety And Health, 4(1): 19-28. ISSN: 1675-5456.

WEB BERASASKAN PEMBELAJARAN DAN PEMBANGUNAN PEKERJA


Apa yang saya tahu  mengenai pembelajaran melalui dalam web adalah bermaksud sesi pembelajaran atau latihan yang berlaku secara atas talian, dimana pembelajaran atau latihan yang dijalankan bukan secara bersemuka tetapi di alam maya secara menggunakan internet. Segala nota dan penilaian yang dijalankan juga secara maya. Seiring dengan kemajuan dan pembangunan teknologi kesan daripada globalisasi, pembelajaran sebegini sedidik sebanyak membawa arus perubahan di dalam pembangunan sumber manusia
            Sebagai contoh di dalam jabatan kerajaan, telah diperkenalkan dengan EPSA. E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) adalah portal pembelajaran bagi sektor awam Malaysia. EPSA merupakan pakej e-pembelajaran yang pertama dibangunkan untuk anggota sektor awam dan merupakan model pendekatan latihan yang baru iaitu memberi tumpuan kepada pembelajaran secara teragih (decentralized).
Selain itu EPSA membolehkan pembelajaran menjadi lebih berkesan dari segi kos dan masa. Dalam era maklumat, keperluan untuk pembelajaran berterusan sepanjang hayat telah mewujudkan permintaan tinggi terhadap pembelajaran. Keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap pembelajaran adalah melebihi kapasiti kemampuan penyampaian secara tradisional di institusi-institusi latihan. Justeru, EPSA adalah inspirasi yang dicetuskan oleh realiti bahawa keperluan penyampaian latihan di dalam persekitaran ekonomi global adalah lebih mencabar dan tidak dapat ditampung menerusi pembelajaran secara fizikal di dalam kelas.
EPSA bertujuan untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses oleh semua anggota sektor awam iaitu menerusi kaedah (platfom) dan kandungan yang sama. Program ini merupakan inisiatif bagi membangunkan modal insan negara menerusi jangkauan, kepantasan dan keberkesanan yang lebih ketara. EPSA membentuk mekanisme pembelajaran yang melengkapi kaedah latihan dan pembelajaran semasa dalam usaha untuk memperkasa pembangunan modal insan di sektor awam.
EPSA telah dirancangkan untuk mengubah kaedah dan pendekatan pembelajaran sedia ada di sektor awam. Isu-isu yang dihadapi dalam kaedah tradisional pembelajaran seperti pertindihan bahan dan pelaksanaan kursus, kuantiti bahan kursus dan tenaga pengajar yang diperlukan, tahap kualiti yang tidak konsisten di samping kekangan masa, kos dan tempat latihan, telah menyumbang kepada pengurangan peluang dan keberkesanan pembelajaran.
Oleh itu kemajuan ICT yang berlaku sekarang telah membolehkan satu mekanisme pembelajaran baru dirangka untuk sektor awam bagi meningkatkan kesediaan capaian, mengurangkan kebergantungan kepada jurulatih, meluaskan peluang antara tenaga pengajar dan pelajar untuk berkolaborasi di samping mengurangkan kos, ruang latihan dan masa berada di luar pejabat. (http://www.epsa.intan.my/wps/portal)
Sumber:
1. http://www.epsa.intan.my/wps/portal

Sunday, 9 December 2012

Kesimpulan


Pengurusan perekrutan dan pemilihan pekerja merupakan aspek yang penting dalam menentukan kejayaan organisasi. Organisasi yang membuat perekrutan yang tepat, betul dan sistematik akan memberi pulangan yang tinggi dan seterusnya membawa kejayaan yang berpanjangan kepada organisasi.                 (Ab Aziz Yusof (2006)
Selain itu, memang tidak dinafikan bahawa bidang teknologi dan sistem maklumat telah memainkan peranan yang signifikan dalam kejayaan sesebuah organisasi. Melalui penggunaan teknologi maklumat,  organisasi dapat meningkatkan pencapaian prestasi pasukan kerja dalam sesebuah organisasi dan membantu menangani masalah-masalah dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh organisasi.
            Reputasi organisasi juga bergantung pada penilaian prestasi yang berkesan, walaupun tidak dapat dinafikan terdapat juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi reputasi organisasi tersebut. Ia akan membawa kepada kepuasan pekerja, motivasi yang tinggi, pengurangan dalam ketidakhadiran, meningkatkan produktiviti, peningkatan dalam kualiti produk dan meningkatkan reputasi sesebuah organisasi.
Sumber:
1.Ab Aziz Yusof (2006), Pengurusan Sumber Manusia-Konsep,Isu dan Pelaksanaan, Pearson,Prentice Hall.